Suku kaum Suluk ialah suku kaum yang
terdapat di sebelah pantai timur Sabah dari utara Kudat hingga ke tenggara Tawau. Suku kaum
Suluk ini adalah penduduk asal di Sabah. Masyarakat Suluk ini adalah
tergolong dalam rumpun Melayu sama seperti suku kaum Melayu Brunei, Melayu Arab,
Melayu Banjar dan Melayu Jawa. Sebaliknya, masyarakat Melayu Suluk di Sabah ini
tidak berbeza dengan bangsa Tausug di Kepulauan Sulu yang terpisah ratusan
tahun dari perhubungan dan amalan cara hidup.
Di Sabah, masyarakat Suluk tempatan
telah hidup beratus tahun di Sabah bersama masyarakat lain seperti masyarakat
Bajau, Dusun, Sungai dan Murut. Pejuang Bangsa Menentang Penjajah British iaitu
Datu Paduka Mat Salleh adalah berketurunan Suluk Paitan
manakala Bapa Kemerdekaan Sabah iaitu Tun Datu
Mustapha Datu Harun adalah berketurunan Suluk Kudat. Pengarah
Yayasan Sabah iaitu Tan Sri Datu Khalil bin Datu Jamilul juga adalah
berketurunan Suluk tempatan Sabah. Begitu juga dengan Ahli Parlimen Lahad Datu
yang juga Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Haji
Datu Nasrun bin Datu Haji Mansur yang mana beliau juga adalah berketurunan
Suluk Sabah. Manakala selain dari Datu Paduka Mat Salleh, ada ramai lagi
pejuang pejuang bangsa penentang penjajah British dari kalangan mereka yang
berketurunan Suluk Sabah iaitu Datu Tating di Pulau Balambangan pada tahun
1773, Datu Baginda Putih di Sandakan pada tahun 1879 dan Datu Kedunding pada
tahun 1879 di Tungku.
Pada masa kini, masyarakat Suluk di
Tawau ( yang dahulunya tinggal bersama dengan masyarakat Tidung di sebuah
perkampungan nelayan dikenali sebagai Tawau Lama pada masa kini ), sudah tidak
wujud lagi sebagai masyarakat Suluk asli sebaliknya keturunan mereka sudah
bercampur baur keturunannya melalui perkahwinan dengan masyarakat lain seperti
Tidung, Cina Muslim, Arab, Iban Muslim, Banjar, Jawa dan sebagainya. Mereka
lebih dikenali sebagai Masyarakat Melayu di Tawau ini kerana bertutur dalam bahasa
Melayu, mengamalkan adat dan budaya Melayu sejak turun temurun. Misalnya
keturunan Kee Abdullah ( Cina Muslim ), Penghulu Tawau pertama telah berkahwin
gadis Melayu Suluk ( Jumatiah ) dan ramai keturunannya hari ini adalah
berketurunan Melayu Tawau. Begitu juga Datuk Abu Bakar Titingan ( Suluk ) yang
berkahwin dengan Kee Hayati ( peranakan Cina ) dan mewujudkan ramai keturunan
Melayu di Tawau ini.
Ramai masyarakat di Tawau yang
dikenali sebagai masyarakat Melayu ini adalah keturunan dari pelbagai suku-suku
kaum yang sudah mengalami percampuran darah keturunan sejak dahulu lagi. Mereka
tidak boleh dibezakan kerana agama dan budaya yang diamalkan adalah sama. Namun
keadaan ini tidak sama dengan masyarakat pendatang dari Indonesia dan Filipina
kerana mereka ada budaya yang tersendiri. Ini kerana kewujudan imigran-imigran
Indonesia dan imigran-imigran Filipina ini adalah agak terkemudian iaitu
setelah Tawau makmur sebagai lubuk sumber ekonomi. Mereka datang ke Tawau
semata-mata untuk mencari rezeki dan sebelum kedatangan mereka ke Tawau, mereka
sudah pun mempunyai identiti negara mereka sendiri. Berbanding dengan
masyarakat Melayu Tawau ini, mereka telah wujud di Tawau sudah terlalu lama
iaitu sebelum kedatangan pemerintahan penjajah Inggeris atau sebelum zaman
pemerintahan tentera Jepun lagi.
Sejarah Suluk di Sabah
Mengikut sejarahnya, Sabah dahulunya
adalah sebahagian Kerajaan Kesultanan Melayu Sulu ( di sebelah timur ) yang
begitu rapat hubungannya dengan Kerajaan Kesultanan Melayu Brunei ( di sebelah
barat Sabah ). Tanah jajahan Kerajaan Melayu Sulu meluas hingga keseluruhan
bahagian timur Sabah termasuk di kawasan sepanjang Sungai Sugut, Sungai Labuk
dan Sungai Kinabatangan dan Sungai Segama. Masyarakat Melayu Suluk telah
membuka penempatan di pesisiran pantai sebelah timur Sabah. Misalnya, Sandakan
dan Lahad Datu adalah contoh penempatan yang diberi nama mengikut bahasa Suluk
asli. Sandakan adalah bermaksud 'Tanah Gadaian' manakala Lahad Datu bermaksud 'Persinggahan Datu'.
Di Tawau, masyarakat Suluk
tempatannya agak berbeza dengan masyarakat Suluk Sabah yang lain. Ini kerana
masyarakat Suluk Tawau yang telah wujud lama di Tawau ini telah berasimilasi
dengan masyarakat Melayu lain yang ada di Tawau. Mereka hidup bersama dan
berkahwin dengan masyarakat suku kaum Melayu lain seperti Melayu Tidung, Melayu
Banjar, Melayu Arab, Melayu Jawa , Melayu Bugis dan sebagainya. Rentetan dari
perkahwinan campur antara pelbagai suku kaum Melayu ini, kini masyarakat Melayu
Suluk di Tawau lebih dikenali sebagai Masyarakat Melayu Tawau.
Oleh kerana Sabah Timur di bawah
pemerintahan Kerajaan Melayu Sulu, banyak golongan bangsawan di kalangan
masyarakat Suluk Sabah yang dilantik sebagai wakil pemerintah Kerajaan Melayu
Sulu. Misalnya Datu Paduka Mat Salleh yang diberi kuasa untuk menjaga perairan
Sungai Sugut. Gelaran 'Datu' pula adalah gelaran yang diberikan kepada golongan
bangsawan masyarakat Melayu Suluk di Sabah. Di Tawau pula, pemimpin Melayu dari
keturunan Suluk yang pernah memimpin masyarakat suatu ketika dahulu ialah Sarip
Ali dari tahun 1905 hingga 1912. Selepas itu, ketika sebelum dan selepas Perang
Dunia dan Pendudukan Jepun di antara tahun 1937 hingga 1953, Penghulu Abu Bakar
yang juga berketurunan Suluk Tawau pernah memimpin masyarakat Melayu di Tawau.
Kemudian era pra kemerdekaan, Datuk Abu Bakar Titingan bin Damsani ( juga
berketurunan Suluk Sabah ) pula memainkan peranan sebagai pemimpin masyakarat
Melayu di Tawau. Beliau telah dilantik sebagai Pengerusi USNO pada Mei 1962 dan
memikul tanggungjawab untuk menyatukan semua orang-orang Melayu pada masa itu
di bawah satu payung iaitu USNO bagi menuntut kemerdekaan Sabah melalui
Malaysia pada 16 September 1963.
Suluk Tawau Bukan
Tausuq ( Filipina )
Suluk Tawau adalah cuma nama asalnya
sebuah keturunan namun hakikatnya kewujudan mereka adalah di dalam sebuah
komuniti iaitu orang-orang Melayu sama seperti suku-suku kaum Melayu lain yang
terdapat di Tawau seperti Melayu Arab, Melayu Banjar dan Melayu Tidung. Oleh
yang demikian, orang-orang Melayu keturunan Suluk di Sabah menganggap diri
mereka adalah Orang Melayu lebih-lebih sudah ratusan tahun, mereka cuma
bertutur dalam satu bahasa iaitu Bahasa Melayu dan mengamalkan budaya dan adat
Melayu bersama komuniti Melayu lain.
Walaupun suku Suluk ini juga ramai terdapat ramai
di tempat lain seperti di Filipna dan Kalimantan namun cara hidup, pertuturan
dan budaya di antara Suluk Tawau adalah sangat berbeza dengan Suluk di Filipina
( Tausug ). Ini kerana bahasa pertuturan Suluk Tawau adalah bahasa Melayu Sabah
manakala pertuturan Suluk di Filipina adalah bahasa pertuturan Suluk [Tausug].
Ramai orang Tausuq di Filipina yang tidak tahu bertutur bahasa Melayu dan bagi
yang tahu bertutur dalam bahasa Melayu, loghat pertuturan mereka adalah sangat
berbeza dengan loghat masyarakat Melayu Tempatan. Dari segi budaya hidup pula,
Suluk Tawau adalah mengamalkan budaya hidup Melayu tempatan Sabah dan gaya
hidup bangsa Malaysia manakala masyarakat Tausuq di Filipna telah mengamalkan
budaya masyarakat Tausug yang agak berbeza dengan budaya Melayu di Malaysia.
Perbezaan Melayu Tawau
( Berdarah Campuran Suluk ) Dengan Tausuq ( Suluk Filipino )
Melayu Tawau ialah masyarakat Melayu
yang wujud di Tawau sebelum zaman penjajahan lagi dan sebelum zaman pendudukan
tentera Jepun di Borneo Utara. Manakala Tausuq yang merupakan bangsa pendatang
dari Filipina yang datang ke Tawau setelah kewujudan negara Filipino. Di
Filipina, mereka dikenali sebagai bangsa Moro manakala di Sabah mereka
diwartakan sebagai bangsa Filipino sama seperti bangsa Visaya dan Tagalog yang
juga berasal dari Filipina dan datang ke Tawau ketika zaman pergolakan
peperangan di selatan Filipina. Walaupun masyarakat Melayu Tawau ada yang
berdarah campuran Suluk tetapi mereka tidak tahu langsung bertutur dalam bahasa
Suluk sebaliknya hanya tahu bertutur dalam bahasa Melayu Loghat Tawau dan
mengamalkan adat tradisi Melayu serta patuh kepada ajaran dan amalan agama
Islam yang suci, diwarisi dari nenek moyang mereka yang sememangnya tinggal di
Tawau sejak beberapa generasi dahulu.
Masyarakat Melayu Suluk
Tawau
Sebagai penduduk tempatan asli Tawau bersama suku kaum
Melayu yang lain seperti Melayu
Tidung, Melayu Arab,
Melayu
Banjar dan Melayu Jawa
tempatan, masyarakat Melayu Suluk hidup bersama-sama dengan mengamalkan budaya
dan cara hidup Melayu tempatan. Budaya masyarakat Melayu Tawau adalah budaya
kemelayuan yang bertunjangkan agama Islam. Masyarakat ini hidup dengan aman di
Tawau tanpa terpengaruh dengan budaya dari Indonesia dan Filipina yang dibawa
oleh masyarakat pendatang dari kedua buah negara jiran tersebut.Contoh
penempatan awal masyarakat Melayu Suluk Tawau bersama masyarakat Melayu Tidung
ialah di Kampung Batu Payung, Kampung Apas Balung, Kampung Membalua, Kampung
Indrasabah, Kampung Wakuba dan Kampung Ranggu.
Pemimpin masyarakat Melayu di Tawau
yang sangat berjasa ketika sebelum dan awal kemerdekaan negeri Sabah ialah
Datuk Abu Bakar Titingan, pengasas Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau ( PKMT )
pada tahun 1945. Ketua pemimpin masyarakat Melayu pertama di Tawau yang
dilantik oleh Kerajaan British ( Penghulu ) pada awal 1900an iaitu OKK Kee
Abdullah juga anak angkat kepada seorang nelayan berbangsa Suluk Kudat bernama
Ibrahim dan isteri beliau juga adalah seorang wanita Suluk Tawau bernama Jumatiah
binti Ami Maidin. Selain itu, terdapat ramai pemimpin dari masyarakat Melayu
keturunan Suluk di Tawau yang dilantik menjadi Ketua Anak Negeri sebagai
menunjukkan membuktikan yang masyarakat Melayu Suluk Tawau adalah penduduk asal
di Tawau. Antaranya ialah OKK Abu Bakar dan OKK Said Sallabi.